Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025; enjin 660 cc Turbo, 5MT

Share

Random Image Popup


Walaupun hanya pernah berada di pasaran Malaysia dalam jumlah yang sangat sedikit satu ketika dulu, nama Daihatsu Mira agak sinonim dengan rakyat Malaysia terutamanya bagi mereka yang meminati ubahsuai kereta. Ini kerana Mira dalam pelbagai generasi merupakan asas kepada beberapa model Perodua seperti Kancil, Kelisa dan juga Viva, di mana model-model ini kerap ‘disalin’ dengan set halfcut kembar-kembarnya dari Jepun berkenaan, terutamanya dalam varian-varian lebih sporty yang dibekalkan dengan enjin 660 cc Turbo.

Walaupun Perodua sudah tidak lagi menyadur kei-car berkenaan sebagai model-model terkininya, Mira masih lagi utuh di pasaran Jepun, dan ia kini dijual dalam versi generasi terbaharu iaitu Mira Tocot dan Mira e:S. Menerusi acara Tokyo Auto Salon (TAS) 2025 yang berlangsung di Makuhari Messe hujung minggu lalu, Daihatsu mendedahkan model konsep Mira e:S dalam varian prestasi yang bakal diproduksi tidak lama lagi iaitu Mira e:S GR Sport.

Ya, GR atau Gazoo Racing merupakan sayap perlumbaan rasmi bagi Toyota, namun Daihatsu itu sendiri sememangnya satu jenama di bawah naungan Toyota. Ini bukan kali pertama sebuah model Daihatsu menerima sentuhan Gazoo Racing di mana sebelum ini Daihatsu Copen GR Sport sudahpun dijual dalam pasaran.

Daihatsu Mira e:S GR Sport Concept didedahkan di Tokyo Auto Salon 2025; enjin 660 cc Turbo, 5MT

Spesifikasi lengkap bagi model ini masih belum diumumkan, namun segalanya telah ditunjukkan ketika ia dipamerkan di TAS tempoh hari. Pada bahagian luaran ia menampilkan bampar hadapan dan belakang yang seiras dengan jentera rali Mira e:S yang bertanding dalam kejohanan All Japan Rally Championship, beberapa kemasan gentian karbon seperti pada perapi lampu belakang, serta bumbung yang nampaknya mungkin turut menerima material gentian karbon asli seperti Toyota GR Yaris,

Mira e:S yang lebih garang ini juga datang bersama set rim aloi ringan dari BBS 16-inci yang dibalut dengan tayar Bridgestone Potenza RE050A bersaiz 165/55R16. Manakala pada sebelah dalam dapat dilihat ia menerima kelengkapan yang hampir sama seperti Copen GR Sport seperti tempat duduk hadapan Recaro dan roda stereng Momo. Juga difahamkan Mira e:S ini menerima enjin 660 cc dengan pengecas turbo, dipadan dengan kotak gear manual lima kelajuan seperti yang boleh dilihat pada tombol gear dalam kabin.

Kuasa dari enjin tersebut dijangkakan tidak akan melebihi jumlah maksima yang dibenarkan untuk kei-Car di Jepun iaitu 64 PS dan tork 100 Nm. Manakala sentuhan GR juga dijangka dibuat menyamai Copen GR Sport seperti pemadanan set suspensi lebih sporty, pendakap-pendapak badan tambahan untuk badan lebih tegar, talaan lebih responsif pada roda stereng dan pelbagai lagi.

Daihatsu belum lagi mengumumkan bila Mira e:S GR Sport ini akan ditawarkan dalam pasaran. Namun berdasarkan rupanya yang nampak lengkap sebagai model produksi, tidak mustahil pelancarannya akan dibuat tahun ini juga.


Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.



Read more

Latest