Semalam Perodua telah mengumumkan prestasi jualannya untuk 2024 – dan sekali lagi syarikat automotif nasional kedua itu menunjukkan prestasi tak masuk akal dengan rekod jualan baharu yang mencecah 358,102 unit. Angka ini bukan sahaja membolehkan Perodua kekal sebagai jenama automotif paling laris di Malaysia, malah syarikat yang hanya menjual kereta-kereta kompak mampu milik itu sekarang sudah menjadi gergasi digeruni dengan memintas Honda bagi menjadi jenama nombor dua paling laris di rantau Asia Tenggara.
Dengan rekod-rekod membuka mata yang telah dicatatkan ini, agaknya dah berapa banyak kereta jenama Perodua dan merayap di atas jalan raya Malaysia? Dalam majlis yang sama semalam, Perodua telah mendedahkan maklumat berkenaan Unit dalam Operasi (UIO), atau dalam bahasa mudahnya jumlah jualan keseluruhan kenderaan syarikat itu sejak kewujudannya pada 1993 sehingga akhir 2024.
Dari slaid yang ditunjukkkan, dapat dilihat bahawa sepanjang 31 tahun dalam pasaran Perodua telah pun menghasilkan dan menjual sebanyak 5.1 juta kenderaan – sebagai perbandingan, Proton yang telah bermula sejak 1983 baru sahaja mencapai angka 5 juta produksi pada pertengahan tahun lalu.
Secara purata Perodua telah menghasilkan sebanyak 164,516 kenderaan setahun, berbanding 121,951 unit yang dihasilkan oleh Proton. Jadi tidak hairanlah mengapa kita boleh lihat lebih banyak Perodua berbanding Proton di atas jalan raya buat masa sekarang.
Walaupun jumlah jualannya dilihat semakin menurun berbanding adik-adiknya yang lain seperti Bezza dan Axia baru-baru ini, Myvi masih lagi ‘King’ dengan menjadi model terlaris Perodua sepanjang zaman – sejak ia mula diperkenalkan pada 2005, hatchback segmen-B berkenaan sudahpun terjual hampir 1.5 juta unit.
Sekali lagi mengambil Proton sebagai perbandingan, model paling laris jenama itu iaitu Saga, ia baru sahaja mencecah produksi sebanyak 2 juta unit pada Mei tahun lalu walaupun telah diperkenalkan 20 tahun lebih awal berbanding Myvi.
Model Perodua kedua paling laris Perodua pula adalah Axia, di mana hatchback segmen-A yang kini telah masuk ke generasi kedua selepas pengenalannya pada 2014 tersebut sudahpun diproduksi sebanyak 746,000 unit.




Manakala model susur galur Axia sendiri, yang juga merupakan model pertama yang diperkenalkan oleh Perodua iaitu Kancil, merupakan model ketiga paling laris dengan mencatatkan produksi sebanyak 709k unit sejak ia mula dibuat pada 1994 sehinggalah dihentikan pengeluarannya pada 2009.
Sementara itu sedan pertama yang dihasilkan oleh Perodua iaitu Bezza pula berada di tempat ke-empat, dengan jumlah produksi sebanyak 543,000 unit hanya 8-tahun dalam pasaran. Ia diikuti dengan MPV tempat duduk yang kini turut sudah masuk ke generasi kedua iaitu Alza dengan produksi sebanyak 503,000 unit, dan juga Viva dengan jumlah produksi 448,000 unit dari 2007 hingga 2014.
Walau bagaimanapun ada dua model Perodua yang tidak disenaraikan dalam UIO ini, mungkin kerana kedua-duanya tidak dibuat di kilang Perodua di Sungai Choh, Rawang. Model berkenaan adalah Perodua Nautica yang diasaskan dari Toyota Rush dan diimport sepenuhnya (CBU) dari Jepun (dilancarkan pada 2008 dengan harga RM90k), dan juga Perodua Ativa Hybrid juga dari Jepun (berasaskan Daihatsu Rocky Hybrid) di mana hanya 300 unit dibawa dan hanya ditawarkan dalam program langganan pada 2022.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.