Jetour Auto Malaysia hari ini mengumumkan bahawa kumpulan pertama SUV Dashing yang diimport sepenuhnya (CBU) dari China sudah pun tiba di Pelabuhan Klang, Selangor. Pratonton bagi model ini telah pun dibuat pada bulan Mei tahun lalu, dan pelancaran rasminya pada pasaran tempatan dijadualkan akan dibuat bulan hadapan.
Penghantaran pertama kepada pelanggan-pelanggan terawal yang sudah menempahnya akan dibuat sejurus ia dilancarkan pada 9 April nanti. Model ini tidak akan ditawarkan dalam versi CBU dalam jumlah yang banyak kerana program pemasangan tempatan (CKD) Jetour di Malaysia diumumkan akan bermula pada akhir Mei 2025 ini.
Jetour Dashing merupakan SUV yang bertanding dalam segmen-C, menampilkan ukuran panjang 4,590 mm, lebar 1,900 mm, tinggi 1,685 mm dan jarak roda sejauh 2,720 mm. Jadi ia lebih pendek dari Honda CR-V (panjang 4,691 mm), namun masih lebih panjang dari Toyota Corolla Cross yang berukuran 4,460 mm panjang.
Dua varian akan ditawarkan untuk pasaran Malaysia iaitu Prime dan Signature, di mana kedua-duanya digerakkan oleh enjin petrol 1.5 liter empat-silinder sebaris disuap pengecas turbo yang mampu menjana kuasa 156 PS pada takat 5,500 rpm adan tork maksima 230 Nm bermula 1,750 hingga 4,000 rpm.
Kuasa dialirkan hanya ke roda hadapan menerusi kotak gear klac berkembar automatik enam-kelajuan tanpa pilihan sistem pacuan semua roda bagi kedua-dua varian. Varian asas Prime dibekalkan dengan set rim aloi 18-inci dengan tayar 235/60R19, manakala varian Signature diberikan set roda lebih besar dengan rim aloi 19-inci dibalut tayar 235/55R19.
Kelengkapan standard lain yang dipadankan pada varian Prime termasuk lampu hadapan LED, lampu nyalaan siang LED, lampu belakang LED, pintu tailgate berkuasa, kemasukan tanpa kunci dengan butang penghidup enjin, penghidup enjin kawalan jauh, upholsteri tempat duduk kulit, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-hala, paparan instrumen digital dengan skrin 10.25-inci, skrin sesentuh infotainmen juga bersaiz 10.25-inci yang disokong Android Auto dan Apple CarPlay, pad pengecas tanpa wayar 50W, empat pembesar suara dan pendingin hawa automatik dengan corong di belakang bersama penapis CN95.
Sistem keselamatan bagi varian asas ini terdiri dari cruise control pasif, kamera undur, sistem brek ABS dengan EBD dan bantuan brek (BA), ESC, kawalan cengkaman, enam beg udara, sistem pemantauan tekanan tayar, cagak ISOFIX, amaran terlebih kelajuan dan empat penderia undur.
Manakala varian Signature menerima tambahan perician lebih baik merangkumi bumbung suria panoramik, tempat duduk penumpang hadapan larasan kuasa empat-hara dan lampu suasana kabin. Sistem keselamatan juga ditambah dengan bantuan tukar lorong, pemantau titik buta, amaran tukar lorong, amaran lintasan trafik belakang dan pemantau pandangan sekeliling 360-darjah.
Menurut Jetour Auto Malaysia, sebelum dilancarkan sudah ada 20 pusat servis jenama itu telah dibuka di seluruh negara, dan ia akan disusuli dengan 10 lagi pusat 3S dan 4S akan dibuka pada tahun ini.
GALERI: Jetour Dashing dipertonton di Malaysia
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.