Jetour VT9 bakal dilancarkan di M’sia tidak lama lagi – SUV 7-tempat duduk, 1.5T, DCT 6-kelajuan, 2 varian?

Share


Jetour Malaysia telah mengesahkan bakal melancarkan satu lagi modelnya untuk pasaran tempatan, iaitu Jetour VT9 tidak lama lagi. SUV tujuh-tempat duduk segmen-D ini dijangka mampu memberikan pesaingan sengit buat Proton X90 dan Chery Tiggo 8 Pro di pasaran tempatan.

Pernah dipertontonkan di Malaysia Autoshow 2024, VT9 ini bersaiz 4,724 mm panjang, 1,900 mm lebar dan 1,720 mm tinggi, dengan jarak roda 2,720 mm dan jarak ground clearance cecah 144 mm. Ia diberikan enjin yang sama dengan Chery Omoda 5 iaitu 1.5 liter pengecas turbo empat-silinder dengan kuasa 156 PS dan tork 230 Nm dan digandingkan bersama transmisi automatik klac berkembar enam-kelajuan.

Jetour VT9 yang dipertontonkan di persidangan Jetour Together For Future di Hilton Shanghai baru-baru ini


Versi pemanduan sebelah kanan VT9 ini juga dipamerkan secara eksklusif dalam persidangan global Jetour Together For Future di Hilton Shanghai baru-baru ini, ditampilkan dengan kemasan krom sepenuhnya pada bahagian keliling tingkap, lampu belakang lebar sepenuhnya, dua pasang paip ekzos berkembar (palsu), sedikit kemadan merah pada bahagian luaran, rel bumbung, dan aloi dua-tona 19-inci. Untuk dalamnya, ia diberikan panel widescreen berkembar 10.25-inci, tempat duduk pemandu larasan kuasa enam-cara, Apple CarPlay/Android Auto, pengecas tanpa wayar 50-wat, empat pembesar suara, kamera 360-darjah dan juga tailgate elektronik.

Buat masa sekarang ini, belum dipastikan perincian yang bakal diberikan untuk model pasaran Malaysia. Adakah kita juga bakal menerima dua varian iaitu Prime dan Signature, dengan model spesifikasi penuh menerima ciri tambahan termasuk bumbung suria panorami, tempat duduk pemandu dengan fungsi memori, enam beg udara, pemantauan titik buta, bantuan kekal lorong, kepekaan trafik lintasan belakang dan amaran membuka pintu, sementara Prime menerima empat beg udara dan AEB.

Harga yang bakal ditawarkan untuk pasaran Malaysia juga masih tersimpul rahsia, kena nantikan pelancarannya tidak lama lagi, kebarangkalian berlangsung di Malaysia Autoshow 2025 yang akan dianjurkan pada awal bulan hadapan. Seperti SUV Jetour Dashing yang dilancarkan di sini pada 9 April lalu, Jetour telah mengesahkan kesemua modelnya yang ditawarkan di Malaysia akan diproduksi secara tempatan (CKD), ini termasuk juga dengan SUV off-road Jetour T2 yang juga akan dilancarkan di pasaran kita tidak lama lagi.

Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.



Read more

Latest