Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri Asisten Komisioner M Kumarasan mengesahkan pemandu Proton Saga yang memandu melawan arus di Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) kelmarin adalah warga emas berusia 85 tahun.
Katanya, warga emas berkenaan itu hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Iskandar Puteri semalam untuk membantu siasatan.
“Hasil siasatan mendapati lelaki warga emas itu memandu secara melawan arus, merbahaya dan melulu di KM 14.3 (arah Utara) Linkedua kelmarin, kerana tersilap memasuki laluan ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Tampoi.
“Warga emas itu kemudian dipercayai keluar melalui susur Gelang Patah dan memandu ke arah Mutiara Rini, sebelum kereta yang dipandunya kehabisan minyak. Dia kemudian dibantu oleh orang awam dan pulang ke rumah menggunakan perkhidmatan e-hailing,” katanya sambil menambah kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, Polis Johor giat mengesan pemandu kereta Proton Saga yang dipandu melawan arus di Linkedua yang dipercayai berlaku kelmarin. Siasatan dibuat susulan tular rakaman dashcam berdurasi 28 saat yang memaparkan kereta itu dipandu melawan arus di lorong kanan lebuhraya berkenaan.
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.