Selepas terjalinnya kerjasama Proton dan Geely pada 2017, Proton yang diterajui oleh CEO Dr. Li Chunrong telah menetapkan sasaran 10-tahun, di mana pada 2027 jenama automotif nasional pertama itu disasarkan untuk memintas Perodua sebagai jenama paling laris dalam negara serta menjadi pengeluar automotif nombor tiga dalam rantau ASEAN.
Sekarang sudahpun masuk tahun 2025, atau dua tahun sebelum sasaran itu dijangka dicapai. Namun berdasarkan rekod jualan, Proton masih lagi jauh di belakang Perodua – untuk 2024, Perodua sudahpun mencapai jualan tahunan sebanyak 358,102 unit, sementara Proton merekodkan jualan sebanyak 152,352 unit.
Walau bagaimanapun Dr. Li masih lagi optimis dengan sasaran yang dibuat sebelum ini. Menurutnya dalam satu majlis bersama media sempena sambutan Tahun Baru China semalam, Proton mempunyai rancangan besar untuk melancarkan sekurang-kurangnya tiga model baharu tahun ini, serta mensasarkan jualan tahunan mencecah 330,000 unit menjelang 2030.
“Kami telah melancarkan banyak kereta, tetapi skala ekonomi masih belum sangat tinggi kerana kami masih di tahap 150,000 unit setahun. Ya, itu adalah tepat, tetapi berdasarkan rancangan kami, kami sekarang telah menetapkan kepada kerajaan bahawa menjelang 2030, kami mahu mencapai 330,000 unit. Saya harap kami dapat lakukan lebih awal sebelum itu,” kata Dr. Li.
“Dari 2022 hingga 2024, kami di atas platform sekitar 150,000 unit, dan tahun ini saya percaya ia masih akan sama. Saya sifatkan situasi ini sebagai “sekolah menengah”, dan 2025 merupakan tahun terakhir Proton berada di sekolah menengah. Tahun depan, kami akan masuk ke universiti, dan kami akan meningkat, naik dengan banyak.”
Bagi mencapai sasaran berkenaan, Proton tidak boleh bergantung semata-mata dalam pasaran tempatan. Untuk itu, Dr Li menjelaskan bahawa Proton akan mula membuat perancangan eksport yang lebih agresif bermula tahun ini.
“Saya percaya kami ada peluang yang sangat baik (untuk berjaya) dalam pasaran antarabangsa, kerana kami akan mempunyai produk yang betul. Saya ingat lagi ketika saya tiba pada 2017, jualan antarabangsa Proton hanya mencatatkan 248 unit, kerana kami tidak mempunyai produk yang baik. Sekarang, produk yang baik sedang bakal tiba tidak lagi!” jelasnya.
Sebagai perbandingan, tahun lalu Proton berjaya mengeksport sebanyak 4,765 unit kenderaannya ke-18 negara berbeza, atau naik sebanyak 31% berbanding 2023, serta menjadi pengeluar dengan jumlah eksport tertinggi di Malaysia. Dari jumlah berkenaan, 2,906 unit daripadanya adalah model paling mampu milik jenama itu iaitu Proton Saga.
Dari keseluruhan Saga yang dijual di luar negara pula, Mesir merupakan pasaran paling besar Saga dengan terjual sebanyak 1,748 unit di sana. Prestasi itu dipacu oleh operasi pemasangan tempatan (CKD) di negara tersebut menerusi kilang di Taman Perindustrian Al Oula di Giza yang telah mula beroperasi lewat tahun lalu.
Rancangan asal Proton untuk memperkuatkan pasarannya di ASEAN mungkin agak sukar buat masa sekarang kerana Geely telah mula masuk ke dua pasaran terbesar rantau ini iaitu Thailand dan Indonesia. Malah Geely juga telah mula bertapak di dua negara pasaran pemanduan sebelah kanan (RHD) yang berpotensi untuk dimasuki kembali oleh Proton iaitu di Australia dan New Zealand.
Jadi rancangan Proton untuk memperkasakan pasaran eksportnya mungkin akan bergantung pada Saga dan kilangnya di Mesir. Menurut Proton, fasiliti yang bernilai USD35 juta berkenaan mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 50,000 unit kenderaan setahun. Saga pemanduan sebelah kiri (LHD) yang dihasilkan kilang tersebut bukan hanya untuk dijual pada pasaran Mesir, malah ia turut akan dieksport ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA).
Baru-baru ini Geely turut telah membuka kilangnya di Mesir untuk memasang model Coolray (X50) dan Emgrand (S70), namun fasiliti tersebut hanya mampu untuk memasang sebanyak 30,000 unit kenderaan setahun. Kemampuan kilang Proton di Mesir itu juga adalah kira-kira 1/3 dari jumlah produksi kilang utamanya di Tanjong Malim buat masa sekarang.
Saga generasi baharu turut dijangka akan dilancarkan tahun ini, dibina berdasarkan platform AMA yang lebih moden berbanding generasi sedia ada. Mungkin ini yang disifatkan oleh Dr. Li berkenaan ‘produk baik yang bakal tiba tak lama lagi’?
Nak jual kereta anda? Jual dengan Carro.